Siapakah Pemuda Islam Yang Dijanjikan?

by khair al-asyraf

Saya baru habis membaca sebuah buku karangan Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi bertajuk جيل النصر ﺍﻟﻤﻨﺸﻮﺩ. Buku tersebut telah diterjemahkan kedalam Bahasa Inggeris dan kini terdapat pula terbitan dalam Bahasa Melayu yang bertajuk The Desired Muslim Generation atau Pemuda Islam Yang Dijanjikan. Buku ini adalah sebuah buku yang menarik untuk dibaca yang mana ia menerangkan dengan jelas tanggungjawab dan generasi Islam yang diperlukan bagi mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.

Buku ini tidaklah begitu tebal lebih kurang 98 muka surat, walau bagaimanapun, isu dan subjek yang ditimbulkan oleh Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi amat menarik perhatian saya untuk terus membaca buku tersebut. Antara isi kandungan buku ini adalah :

a) Umat di zaman ini memerlukan roh Islam bagi menjadikannya umat terbaik yang dikeluarkan dari seluruh umat manusia.

b) Antara permasalahan utama umat Islam pada zaman ini adalah umat ini sedang berada dalam keadaan mabuk dan terpesong daripada identiti mereka sendiri yang mana ia lupa tentang hakikat risalah Islam sehingga ia lupa sebab kewujudannya di dunia dan tidak lagi mampu untuk mengenal siapa teman dan siapa musuh.

c) Wujud juga jurang persaudaraan yang begitu lebar di kalangan umat Islam berpunca daripada sifat asobiah perkauman, iklim, bahasa, anasir-anasir luar yang diikuti dengan sistem-sistem yang berbeza dan sikap individualistik para pemimpin yang lebih mengutamakan hawa nafsu daripada kebenaran akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam daripada jalan Allah.

d) Antara syarat-syarat kemenangan umat Islam adalah yang pertama kemenangan itu adalah daripada Allah S.W.T dan kedua Allah S.W.T hanya akan membantu orang yang membantu agamanya seperti mana firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :

” Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”

Syarat yang ketiga adalah kemenangan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada golongan mukmin, juga tidak akan belaku melainkan dengan golongan mukmin sendiri seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 62 & 63 yang bermaksud :

“Dia lah Yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan  (sokongan) orang-orang yang beriman”.

e)  Antara kriteria-kriteria generasi kemenangan di kalangan Muslimin dan Muslimat adalah :

satu generasi yang patuh dan taat kepada syiar agama Islam, generasi yang tidak asing kepada amalan membaca dan mempelajari Al Quran Al Karim serta Sunnah Nabawiyah.

Generasi yang berdasarkan kepada realiti dan keilmuan serta berlepas diri daripada golongan yang bersikap membuta tuli.

Generasi yang bekerja dalam satu kelompok dan tidak membiarkan ahlinya berada dalam keadaan selesa atau berseronok dengan keagungan perkara-perkara lalu.

Generasi rabbani dan ikhlas  yang hidup di dunia dengan jiwa ahli akhirat.

Generasi yang bersandar kepada Islam dan beriman dengan pemahaman yang cukup jelas dan meninggalkan jahiliyah dengan pengetahuan yang jitu.

Generasi dakwah dan jihad yang mana agama Islam terlalu agung buat mereka lantas masalah dunia ini menjadi perkara remeh kepada mereka dalam mengharungi jalan agama.

Generasi yang merasakan aqidah mereka terlalu mahal harganya untuk ditukar ganti dengam urusan dunia.

Generasi yang hidup dalam zaman moden namun pemikiran dan perasaan mereka persis para sahabat di kurun pertama hijrah.

Generasi yang kuat dan mulia.

Generasi yang seimbang dan sederhana yang tidak tenggelam di dalam material dan tidak pula hanyut dalam spiritual, mereka mengetahui tanggungjawab mereka terhadap Tuhan, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu mereka menunaikan tanggungjawab kepada setiap yang berhak dan

Generasi yang selalu bertaubat dan menjaga diri daripada melakukan maksiat.

Saya dapati buku ini amat bermanfaat kepada kita semua yang beragama Islam kerana di dalamnya menerangkan secara jelas peranan yang perlu dijalankan oleh seluruh umat Islam dalam menegakkan syiar Islam…sekurang-kurangnya buku ini berjaya menarik minat saya untuk mendalami agama yang saya anuti ini sejak dari lahir lagi. Saya berdoa agar saya tidak dicampakkan jauh dari rahmat dan keampunan Allah S.W.T…